Tinta Penulis
Selepas selesai membaca tafsir ayat ke-30, Surah al-Kahfi dalam kuliah tafsir secara langsung di Facebook, Haddasana, saya terus membuka bahan-bahan tafsir untuk membaca, meneliti dan menulis tafsir ayat ke-31.
Saya mahu meneruskan nota untuk siri kuliah secara langsung yang seterusnya.
Sambil membaca, saya mula melihat hubungan yang begitu indah antara ayat ke-30 dengan ayat ke-31.
Pada ayat ke-30, Allah menjelaskan tentang balasan bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Allah memberikan satu jaminan yang sangat menenangkan hati:
وَإِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا
“Sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amal yang baik.”
Dalam perjalanan hidup seorang mukmin, tidak ada satu pun iman dan amal soleh yang sia-sia di sisi Allah. Mungkin manusia tidak melihatnya. Mungkin usaha kita tidak dihargai manusia. Mungkin amal yang dilakukan terasa kecil. Mungkin ada kebaikan yang kita lakukan secara senyap sehingga tidak diketahui sesiapa pun. Tetapi Allah tidak pernah mensia-siakan semuanya.
Kemudian, apabila sampai kepada ayat ke-31, Allah memperincikan bentuk ganjaran yang diberikan kepada mereka yang beriman dan beramal soleh.
Jika ayat ke-30 memberikan jaminan bahawa pahala mereka tidak akan disia-siakan, ayat ke-31 pula memperlihatkan kepada kita sebahagian daripada bentuk ganjaran tersebut.
Allah berfirman:
أُولَٰئِكَ لَهُمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ
“Mereka itulah yang memperoleh syurga ‘Adn, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.”
Syurga. Itulah destinasi yang Allah sediakan bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Bukan sekadar satu ganjaran yang abstrak, tetapi Allah menggambarkan kenikmatan itu dengan begitu jelas.
Di sekeliling ahli syurga, terdapat sungai-sungai yang mengalir. Kemudian Allah menyebut pula kenikmatan yang diberikan kepada diri mereka:
يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ
“Mereka dihiasi di dalamnya dengan gelang-gelang daripada emas.”
Kemudian Allah menyebut pula pakaian mereka:
وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِنْ سُنْدُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ
“Dan mereka memakai pakaian berwarna hijau daripada sutera halus dan sutera tebal.”
Saya melihat bagaimana ayat ini menggambarkan kenikmatan syurga dari beberapa sudut. Pertama, kenikmatan yang berada di sekeliling ahli syurga, iaitu sungai-sungai yang mengalir. Kedua, kenikmatan yang dikenakan kepada diri mereka, iaitu gelang emas yang menghiasi mereka. Ketiga, kenikmatan yang menyentuh tubuh mereka, iaitu pakaian daripada sutera yang indah.
Seolah-olah Allah sedang menggambarkan bahawa ganjaran kepada orang beriman dan beramal soleh bukan sekadar sesuatu yang mereka rasakan dalam jiwa, tetapi suatu kenikmatan yang menyeluruh.
Saya kembali teringat ayat sebelumnya. Allah tidak mensia-siakan amal mereka. Dan ayat selepasnya seakan-akan menjawab persoalan: Kalau begitu, apakah bentuk ganjaran yang Allah berikan?
Jawapannya:
جَنَّاتُ عَدْنٍ
Syurga ‘Adn.
Di situlah saya semakin terasa bahawa iman dan amal soleh bukanlah perjalanan yang sia-sia. Ada kalanya kita beramal tanpa melihat hasilnya di dunia. Ada kalanya kita bersabar tanpa mengetahui bila kesabaran itu akan dibalas. Ada kalanya kita memilih untuk taat kepada Allah ketika orang lain memilih jalan yang berbeza.
Tetapi Allah mengingatkan:
وَإِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا
Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang melakukan kebaikan.
Maka, apabila saya membaca ayat ke-31 ini, saya terasa seperti sedang melihat sambungan kepada satu janji Allah.
Ayat ke-30 memberikan ketenangan kepada hati. Ayat ke-31 pula memberikan gambaran tentang ganjaran yang menanti.
Dan saya terus menulis. Kerana semakin kita membaca al-Quran, semakin kita akan sedar bahawa setiap ayat bukan sekadar untuk diketahui, tetapi untuk direnungkan.
Kadang-kadang, satu ayat membuatkan kita membaca ayat selepasnya. Kemudian ayat selepas itu pula membuka persoalan yang lain. Begitulah saya terus berjalan bersama tafsir.
Bukan sekadar mencari makna ayat, tetapi cuba memahami bagaimana ayat itu berbicara kepada hati dan kehidupan kita sendiri.
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis