Tinta Penulis
Apabila saya meneliti ayat ke-38 dan 39, Surah al-Kahfi, saya melihat satu bentuk pemikiran yang penting dalam kehidupan seorang mukmin. Setiap usaha yang dilakukan, setiap perancangan yang disusun dan setiap kehendak yang terbit dalam diri perlu disertai dengan kesedaran bahawa semuanya tertakluk kepada iradah (kehendak) dan qudrah (kekuasaan) Allah.
Manusia memang mempunyai kehendak. Namun, tidak semestinya manusia mempunyai kemampuan untuk melaksanakan apa yang dikehendakinya. Bayangkan seorang yang lumpuh. Dia mungkin mempunyai keinginan yang kuat untuk berlari, tetapi dia tidak mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Malah, untuk berjalan pun dia tidak mampu.
Di sinilah saya melihat perbezaan antara manusia dengan Allah. Manusia mempunyai kehendak dan kemampuan yang terbatas, sedangkan Allah Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa. Kehendak manusia tidak semestinya terlaksana, tetapi segala yang dikehendaki Allah tidak ada sesuatu pun yang mampu menghalangnya.
Justeru, saya memahami bahawa setiap kehendak dan kemampuan yang ada pada diri manusia sebenarnya tertakluk kepada kehendak, kekuasaan dan keizinan Allah. Kesedaran inilah yang sepatutnya membentuk cara berfikir seorang mukmin. Kita boleh merancang dan berusaha, tetapi jangan sampai terlupa bahawa kemampuan untuk melaksanakan segala perancangan itu juga merupakan kurniaan daripada Allah.
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis