Tinta Penulis
Baru sahaja saya selesai menulis tafsir Surah al-Kahfi ayat ke-25 dan ke-26.
Ayat ini membawa saya kepada satu perkara yang menarik tentang tempoh pemuda Ashabul Kahfi tidur di dalam gua.
Mereka tidur selama 309 tahun. Namun, al-Quran tidak menyebutnya secara terus dengan ungkapan “309 tahun”. Sebaliknya, Allah menyebut "tiga ratus tahun", kemudian menambah "sembilan".
Daripada sini, timbul pula perselisihan dalam kalangan penduduk Mekah tentang berapa sebenarnya tempoh pemuda Ashabul Kahfi berada di dalam gua. Tetapi menariknya, al-Quran tidak memberikan ruang untuk kita menyibukkan diri dengan perincian yang tidak membawa manfaat besar kepada kehidupan manusia.
Sebab itu, selepas menyebut tempoh tersebut, Allah mengajar Nabi Muhammad SAW tentang sikap terhadap perkara yang tidak jelas dan tidak memberi manfaat.
Pada saya, di sinilah letaknya satu pelajaran yang sangat besar. iaitu, Tidak semua perkara yang kita tidak tahu perlu kita paksa diri untuk mengetahuinya. Ada perkara yang Allah jelaskan dengan terperinci kerana ia penting untuk kehidupan kita. Ada pula perkara yang sengaja dibiarkan pada kadar tertentu kerana perinciannya tidak membawa manfaat kepada manusia.
Begitu juga dengan bilangan pemuda Ashabul Kahfi. Yang penting, mereka bukan seorang. Mereka adalah sekumpulan pemuda. Berapa orang tepatnya? Itu tidak menjadi perkara utama.
Begitu juga tempoh mereka tidur. Yang penting, mereka tidur dalam tempoh yang sangat lama. Adapun perincian yang lebih daripada itu, kita serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui.
Inilah yang disebut sebagai "tafwidh". Iaitu, menyerahkan pengetahuan tentang perkara yang tidak kita ketahui kepada Allah.
Kadang-kadang manusia terlalu ghairah untuk mempunyai jawapan terhadap segala-galanya. Sedangkan hakikat ilmu mengajar kita bahawa kemampuan manusia mempunyai batas. Kita perlu tahu apa yang perlu diketahui. Dan kita juga perlu tahu bila kita patut berkata: “Allah lebih mengetahui.”
Ayat ke-25 dan ke-26 Surah al-Kahfi mengajar saya satu disiplin ilmu yang sangat penting: "jangan membuat perincian pada perkara yang tidak memberi faedah kepada kehidupan"
Ilmu bukan sekadar kemampuan untuk mengetahui banyak perkara. Ilmu juga adalah kemampuan untuk membezakan mana yang perlu diketahui dan mana yang cukup diserahkan kepada Allah. Kerana pengetahuan manusia itu terbatas. Sedangkan pengetahuan Allah merentasi segala-galanya.
Apa yang kita tahu hanyalah sedikit daripada apa yang Allah tahu. Maka, pada perkara yang tidak dijelaskan secara tuntas oleh wahyu, saya memilih untuk berhenti pada batas yang Allah tetapkan. Tidak perlu memaksa. Tidak perlu berselisih panjang. Tidak perlu mereka-reka. Cukuplah saya berkata: "Allah lebih mengetahui."
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis