Tinta Penulis
Menjelang Maghrib, saya akhirnya berjaya menyiapkan penulisan tafsir ayat ke-32 hingga ayat ke-34 daripada Surah al-Kahfi.
Ketika meneliti ayat-ayat ini, saya melihat satu pengajaran yang sangat dekat dengan kehidupan manusia. Al-Quran menggambarkan kisah dua orang lelaki yang diberikan nikmat oleh Allah, khususnya nikmat harta dan pengaruh.
Daripada kisah ini, saya melihat bagaimana manusia boleh tergelincir sehingga membawa kepada kekufuran. Kadangkala, kekufuran itu tidak bermula dengan penolakan terhadap Allah. Ia boleh bermula dengan sesuatu yang kelihatan kecil dalam diri manusia, rasa sombong terhadap apa yang dimiliki.
Apabila seseorang mula berbangga dengan hartanya, dia merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain. Apabila dia memiliki pengaruh pula, dia mula merasakan dirinya mempunyai kedudukan yang istimewa.
Harta membuatkan seseorang melihat dirinya lebih bernilai. Pengaruh pula membuatkan seseorang merasakan kata-katanya lebih penting daripada orang lain.
Daripada dua perkara inilah, kesombongan boleh tumbuh sedikit demi sedikit sehingga manusia lupa bahawa segala yang dimilikinya sebenarnya hanyalah pemberian Allah.
Ayat-ayat ini membuatkan saya berfikir bahawa antara dua faktor besar yang boleh membawa manusia menuju kekufuran ialah kesombongan yang lahir daripada harta dan pengaruh.
Sebab itu, masalah sebenar bukan pada harta atau pengaruh itu sendiri. Yang menjadi masalah ialah apabila harta dan pengaruh mengubah cara manusia melihat dirinya, sehingga dia lupa siapa yang sebenarnya memberikan semua itu kepadanya.
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis