Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya..."
(Surah Al-Baqarah, 61)
Pernah tak kita rasa jemu dengan kesenangan hidup atau rezeki sedia ada, lalu mula merungut mahukan perkara lain? Kisah Bani Israel dalam ayat ini akan membuatkan kita terdiam sekejap dan bermuhasabah tentang erti kesyukuran sebenar.
Apa yang ayat ini ajar kita?
Sindrom Sukar Bersyukur — Bani Israel menolak hidangan premium dari langit (al-Mann dan al-Salwa) hanya kerana merindui sayur-sayuran bumi. Ini menggambarkan sifat manusia yang mudah jemu dengan nikmat sedia ada lalu sanggup menukarnya dengan sesuatu yang lebih rendah nilainya.
Sifat Takut Kehilangan — Menurut Tafsir al-Sha'rawi, mereka meminta makanan bumi kerana mahukan rezeki yang boleh dikawal sendiri melalui usaha fizikal. Mereka dilingkupi kebimbangan dan rasa tidak yakin jika suatu hari nanti kurniaan percuma dari langit itu tiba-tiba terhenti.
Isu Adab, Bukan Isu Selera — Mufassir (ahli tafsir) menjelaskan keinginan bertukar menu itu pada fitrahnya bukanlah dosa. Namun, cara mereka merungut dengan ungkapan kasar dan mencabar Nabi Musa menunjukkan kerosakan jiwa serta hilangnya adab terhadap nikmat pemberian Ilahi.
Untuk Pelanggan Muraqabah
Sambungan kupasan ini menanti anda.
Termasuk huraian penuh, analisis mendalam, video penerangan oleh Ustaz Dr. Wan Ji, dan PDF lengkap untuk muat turun.
Sudah lama saya menyiapkan tafsir ayat ke-61 Surah al-Baqarah. Hari ini, barulah sempat saya susun dan kemaskan untuk tatapan para pembaca.
Ayat ini menjelaskan kedegilan Bani Israel yang tidak pernah berasa puas hati. Setelah Nabi Musa berdoa kepada Allah lalu mereka dikurniakan makanan dari langit, mereka masih meminta agar makanan itu ditukar kepada makanan dari bumi.
Padahal, makanan dari langit itu amat sesuai dengan keadaan mereka ketika berada di padang pasir yang tandus dan tidak subur. Namun begitu, mereka tetap mendesak Nabi Musa AS agar menyediakan makanan yang sememangnya sukar diperoleh di kawasan tersebut.
Daripada ayat ini, dapat dilihat sikap dan perangai Bani Israel. Mereka bukan sahaja tidak bersyukur terhadap nikmat yang diberikan, bahkan sentiasa menekan Nabi Musa demi memenuhi kehendak mereka sendiri. Itulah antara sifat Bani Israel yang disebut berulang kali dalam al-Quran, lebih mengutamakan kepentingan dan keselesaan diri daripada menghargai nikmat serta memuliakan para nabi.