Tinta Penulis
Selepas selesai live di Facebook, membaca dan menghuraikan tafsir ayat ke-29, Surah al-Kahfi, saya terus membuka laptop. Saya sambung membaca, meneliti kitab-kitab tafsir dan menulis pula tafsir bagi ayat ke-30.
Semakin saya membaca ayat ini, semakin saya nampak hubungan yang begitu indah antara ayat ke-29 dengan ayat ke-30.
Kalau ayat ke-29 menjelaskan ancaman azab kepada orang kafir Musyrikin Mekah yang memilih jalan kekufuran, maka ayat ke-30 pula datang membawa gambaran yang berbeza.
Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang memperelok amalannya.”
Al-Quran sedang memperlihatkan dua jalan yang berbeza. Di satu sisi, ada manusia yang memilih kekufuran. Mereka bukan sekadar dibiarkan begitu sahaja, tetapi diancam dengan azab yang dahsyat.
Di sisi yang lain, ada manusia yang memilih iman. Mereka bukan sahaja beriman, bahkan iman itu diterjemahkan melalui amal soleh.
Dan Allah memberi satu jaminan yang sangat menenangkan: “Kami tidak akan mensia-siakan.”
Saya terfikir, perkataan "لَا نُضِيعُ" (“Kami tidak mensia-siakan”), seolah-olah mengajar saya bahawa di sisi Allah, tidak ada amal soleh yang hilang begitu sahaja.
Mungkin manusia tidak nampak. Mungkin manusia tidak menghargai. Mungkin ada amal yang dilakukan secara senyap, tanpa diketahui sesiapa. Tetapi Allah tahu. Tidak ada kebaikan yang terlepas daripada pengetahuan-Nya. Tidak ada pengorbanan yang hilang daripada perhitungan-Nya.
Kalau nisbah kepada orang kafir, mereka bukan sekadar berada dalam keadaan sia-sia. Kesudahan mereka adalah ancaman azab yang dahsyat. Tetapi bagi orang Mukmin yang memilih iman dan membuktikannya dengan amal soleh, mereka tidak dibiarkan begitu sahaja.
Allah menjanjikan balasan. Malah, balasan itu bukan sekadar disebut secara umum. Ayat ke-30 memberi gambaran tentang prinsipnya: Allah tidak akan mensia-siakan pahala mereka.
Kemudian saya perhatikan, Allah membawa saya kepada ayat berikutnya, ayat ke-31, yang akan memperincikan lagi bentuk kenikmatan yang menanti mereka. Seolah-olah susunan ayat ini sedang mengajar saya: Jangan takut bahawa kebaikan yang kita lakukan itu sia-sia. Jika kita memilih iman, kemudian berusaha melakukan amal soleh, Allah melihat semuanya.
Mungkin kita belum melihat hasilnya di dunia. Tetapi Allah sudah menjanjikan bahawa di sisi-Nya, tidak ada amal soleh yang akan hilang begitu sahaja.
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis