Tinta Penulis
Saya baru sahaja selesai menulis dan menyusun tafsir bagi ayat ke-62 Surah al-Baqarah.
Selesai meletakkan noktah terakhir, saya termenung seketika. Ayat itu terasa begitu lembut, tetapi dalam masa yang sama membawa pesan yang sangat besar. Allah menjelaskan bahawa jalan menuju syurga bukanlah dengan dakwaan, keturunan atau nama sesuatu golongan. Syaratnya jelas, iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada hari akhirat, dan beramal soleh.
Menariknya, ayat ini datang selepas beberapa ayat yang menceritakan tentang kedegilan Bani Israil. Kedegilan yang berulang-ulang. Kedegilan yang akhirnya membawa mereka kepada kemurkaan dan azab Allah.
Ketika meneliti susunan ayat-ayat ini, saya merasakan ada satu sentuhan sastera al-Quran yang sangat indah.
Selepas Allah menceritakan tentang azab yang menimpa akibat kedegilan, Allah terus membuka jendela harapan. Seolah-olah al-Quran sedang berkata kepada manusia: jika kedegilan membawa kepada azab, maka meninggalkan kedegilan membuka jalan yang luas menuju syurga.
Betapa indahnya didikan al-Quran. Ia tidak sekadar menakutkan manusia dengan ancaman. Ia juga menunjukkan jalan keluar. Ia tidak hanya menceritakan tentang hukuman, tetapi turut membentangkan rahmat. Setelah disebut tentang gelapnya akibat kedegilan, Allah memperlihatkan cahaya harapan kepada sesiapa yang mahu tunduk kepada kebenaran.
Saya semakin yakin bahawa antara penghalang terbesar manusia daripada menerima hidayah bukanlah kejahilan semata-mata, tetapi kedegilan hati. Apabila seseorang sanggup merendahkan ego, menerima kebenaran dan tunduk kepada petunjuk Allah, maka pintu-pintu rahmat yang luas itu terbuka di hadapannya.
Dan di situlah saya melihat keindahan hubungan antara ayat-ayat ini. Daripada kisah azab kepada berita gembira tentang syurga. Daripada amaran kepada harapan. Daripada kedegilan kepada ketundukan.
Seolah-olah al-Quran sedang mengajar bahawa syurga itu tidak jauh. Kadang-kadang, yang perlu ditinggalkan hanyalah sifat degil yang bersarang di dalam hati.
Sesiapa yang mahu ambil manfaat dari tulisan ini, boleh dapati di link berikut;
PA
PPMQ Admin
Catatan peribadi penulis