Tinta Penulis
Surah al-Kahfi selalu terasa dekat dengan jiwa saya. Ada sesuatu pada surah itu yang membuatkan hati mudah tersentuh. Selepas Surah Yusuf, saya merasakan Surah al-Kahfi adalah antara surah yang paling kuat penceritaannya, bukan sekadar kisah, tetapi perjalanan yang menggoncang emosi dan memaksa akal untuk berfikir lebih jauh tentang kehidupan, iman, fitnah dunia dan makna pergantungan kepada Allah.
Setiap kali saya membaca surah ini, saya seperti sedang melihat diri sendiri. Kadang-kadang saya terasa betapa lemahnya manusia ketika berhadapan dengan dunia. Ada manusia yang diuji dengan ilmu, ada yang diuji dengan harta, ada yang diuji dengan kuasa, dan ada yang diuji dengan rasa takut kehilangan sesuatu yang dicintai. Surah al-Kahfi seperti datang memegang hati kita perlahan-lahan, lalu mengingatkan bahawa dunia ini hanyalah persinggahan yang penuh ujian.
Hari Ahad ini, insya-Allah, pada waktu subuh, akan berlangsung kuliah pertama saya berkenaan Surah al-Kahfi. Saya sendiri tidak pernah merasakan diri ini layak untuk bercakap tentang al-Quran. Tetapi mungkin kerana permintaan kawan-kawan, akhirnya saya memberanikan diri juga. Dalam hati saya, ada rasa takut; bimbang jika bercakap tanpa adab dengan Kalam Allah, dan takut jika ilmu itu tidak memberi kesan terlebih dahulu kepada diri saya sendiri.
Sebab itu, setiap kali saya mahu mengajar, saya akan memaksa diri untuk ulang kaji bersungguh-sungguh. Dan menjadi kebiasaan saya, apabila saya mengulang kaji, saya akan menulis. Menulis itu membuatkan saya lebih perlahan dalam memahami sesuatu. Kadang-kadang ketika menulis, saya sendiri tersedar tentang kelalaian yang selama ini saya tidak nampak.
Kuliah pertama nanti, insya-Allah, saya akan cuba mengupas muqaddimah Surah al-Kahfi terlebih dahulu. Walaupun hanya muqaddimah, di dalamnya terkandung begitu banyak perkara penting yang membuka jalan untuk memahami keseluruhan surah ini dengan lebih hidup dan lebih mendalam.
Saya berharap, mudah-mudahan kuliah ini bukan sekadar majlis ilmu biasa. Saya berharap ia menjadi sebab untuk hati-hati yang letih kembali dekat kepada Allah. Dan mungkin, dalam dunia yang terlalu bising dengan urusan hidup hari ini, kita semua sebenarnya sedang mencari sebuah tempat untuk kembali tenang bersama al-Quran.
PA
PPMQ Admin
Catatan peribadi penulis