Tinta Penulis
Kadang-kadang saya terfikir, dalam hidup ini, janganlah kita melakukan kezaliman kepada orang lain. Janganlah kita menyakiti hati manusia hanya kerana kita sedang berada dalam keadaan yang lebih baik daripada mereka. Dan yang lebih penting, janganlah kita sombong dengan nikmat yang sedang berada dalam genggaman kita. Sebab nikmat yang ada pada tangan kita hari ini bukan semestinya akan kekal selama-lamanya.
Kadang-kadang seseorang diberikan harta, lalu dia merasa dirinya lebih tinggi daripada orang lain. Diberikan kedudukan, dia mula memandang rendah kepada orang yang tidak mempunyai kedudukan. Diberikan ilmu, dia mula menghina orang yang kurang ilmu. Diberikan pengaruh, dia mula merasakan dirinya lebih berharga daripada manusia lain. Lebih malang lagi apabila nikmat itu dijadikan alasan untuk menghina orang lain.
Apabila kita berbuat demikian, sebenarnya kita sedang membuka ruang dalam hati orang yang kita hina itu untuk merasa dirinya direndahkan. Dan apabila seseorang sudah merasa terhina, kita tidak tahu apa yang berlaku dalam hati mereka. Mungkin mereka diam. Mungkin mereka tidak membalas. Tetapi dalam diam itu, mungkin ada air mata. Mungkin ada luka. Mungkin ada doa yang dipanjatkan kepada Allah.
“Ya Allah, jika nikmat yang ada pada dia menyebabkan dia menzalimi dan menghina orang lain, maka ambillah nikmat itu daripadanya.”
Al-Quran sendiri menceritakan tentang manusia yang menjadi kufur kerana nikmat dan harta yang dimilikinya. Dia begitu terpesona dengan apa yang berada dalam genggamannya sehingga dia tidak lagi percaya kepada hari akhirat. Bukan sekadar kufur kepada Allah, bahkan dia menjadi sombong terhadap manusia. Dia melihat hartanya sebagai tanda bahawa dirinya lebih hebat. Dia menyangka apa yang dimilikinya akan kekal selama-lamanya. Sedangkan sebenarnya, nikmat yang berada di tangan kita hanyalah amanah.
Hari ini kita menggenggamnya. Esok, mungkin kita pula yang kehilangan segala-galanya.
Sebab itu saya melihat kisah dalam Surah al-Kahfi ini bukan sekadar cerita tentang sebuah kebun yang musnah. Ia adalah peringatan tentang bagaimana manusia boleh tertipu dengan nikmat sehingga lupa bahawa nikmat itu datang daripada Allah.
Jangan sampai kita terlalu bangga dengan apa yang kita ada sehingga kita menghina orang yang tidak memilikinya. Jangan sampai nikmat yang sepatutnya menjadikan kita bersyukur, akhirnya menjadikan kita sombong. Kerana apabila manusia merasa terhina akibat kesombongan kita, kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu.
Boleh jadi doa orang yang kita hina itu sampai kepada Allah. Dan apabila kehancuran itu benar-benar berlaku, ketika itulah kita mula menyesal. Tetapi penyesalan setelah kehancuran tidak lagi membawa manfaat.
Kita mungkin ketika itu berkata, “Kalaulah saya tidak sombong. Kalaulah saya tidak menghina dia. Kalaulah saya tahu bahawa nikmat ini tidak akan kekal.” Tetapi semuanya sudah terlambat.
Sebab itu, sebelum kehilangan, belajarlah bersyukur. Sebelum dihina oleh keadaan, jangan menghina manusia. Sebelum nikmat ditarik, jangan jadikan nikmat itu sebab kita menzalimi orang lain. Itulah, kurang lebih, antara nasihat, pengajaran dan tadabbur yang saya dapat daripada ayat ke-42 Surah al-Kahfi.
Nikmat bukan alasan untuk kita meninggi diri. Nikmat adalah alasan untuk kita lebih banyak bersyukur, lebih banyak merendah diri dan lebih berhati-hati agar jangan sampai nikmat yang berada dalam genggaman kita menjadi sebab kehancuran kita sendiri.
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis