Tinta Penulis
Lepas selesai live Facebook di page Haddasana membaca tafsir ayat ke-35, Surah al-Kahfi, saya terus duduk membaca berita dan melihat perkembangan di Facebook. Selepas itu, saya menulis satu status berkenaan sudut pandang saya terhadap Tun Dr. Hasmah Ali. Selesai menulis, saya kembali membuka kitab-kitab PDF yang ada di komputer. Saya sambung membaca dan menulis tafsir Surah al-Kahfi, kali ini masuk kepada ayat ke-36.
Ayat ini menarik perhatian saya. Apabila saya membacanya, saya dapat melihat bahawa ayat ini bukan sekadar menceritakan kisah seorang pemuda yang kufur. Ia juga sedang memperlihatkan kepada kita satu bentuk kesalahan dalam cara manusia berfikir.
Pemuda yang kufur itu sedang bercakap dengan kawannya yang beriman. Dia melihat kebunnya yang subur, hasilnya tidak pernah terputus, dan kehidupan yang berada dalam genggamannya seolah-olah sentiasa berjalan dengan baik. Daripada keadaan itu, dia membuat satu kesimpulan yang sangat jauh.
Dia berkata bahawa dia tidak menyangka kebunnya itu akan binasa. Bahkan dia mula membawa keyakinan itu kepada persoalan yang lebih besar, iaitu dia berkata bahawa dia tidak menyangka kiamat akan berlaku.
Di sinilah saya melihat betapa dangkalnya cara dia membuat kesimpulan. Dia mengambil sesuatu yang sedang berlaku di depan mata, lalu menjadikannya sebagai ukuran terhadap sesuatu yang berada di luar jangkauan pengalamannya. Kebunnya subur, maka dia merasakan kebun itu akan kekal. Rezekinya banyak, maka dia merasakan keadaan itu tidak akan berubah. Dunia berada di tangannya, lalu dia mula membayangkan bahawa akhirat juga akan tunduk kepada logik dunia yang dia bina sendiri. Sedangkan kekayaan bukan bukti bahawa seseorang itu mendapat jaminan daripada Allah. Kesuburan sebuah kebun bukan bukti bahawa dunia akan kekal. Dan nikmat yang seseorang rasakan hari ini bukan bukti bahawa dia akan menerima nikmat yang sama di akhirat.
Lebih menarik lagi, pemuda itu bukan sekadar menolak kewujudan kiamat. Dia juga menyindir kawannya yang beriman. Dia seolah-olah berkata, kalau benar pun nanti ada akhirat dan ada syurga, dia tetap percaya bahawa dirinya akan mendapat nikmat yang lebih besar.
Mengapa?
Kerana dalam fikirannya, ukuran kemuliaan seseorang ialah apa yang dimilikinya di dunia. Dia kaya. Dia memiliki kebun. Dia mempunyai hasil yang banyak. Maka dia merasakan bahawa kalau ada syurga sekalipun, dia lebih layak untuk mendapat nikmat yang lebih besar daripada kawannya yang miskin.
Di sini saya melihat satu lagi kesilapan berfikir. Dia menyamakan kejayaan dunia dengan kedudukan seseorang di sisi Allah. Seolah-olah orang yang banyak memiliki dunia pasti lebih dekat dengan Allah. Seolah-olah orang yang miskin pasti lebih rendah kedudukannya. Seolah-olah apa yang seseorang miliki di dunia merupakan gambaran langsung tentang apa yang akan diperolehnya di akhirat.
Padahal, itulah antara kekeliruan besar manusia. Kita sering mengukur nilai seseorang berdasarkan apa yang dapat dilihat. Rumahnya besar atau kecil. Keretanya mahal atau biasa. Pengikutnya ramai atau sedikit. Akaunnya banyak atau sedikit. Pengaruhnya besar atau kecil. Tetapi al-Quran membawa kita melihat ukuran yang berbeza.
Dunia tidak semestinya menjadi cermin kepada kedudukan seseorang di akhirat. Ada orang yang diberikan dunia sebagai ujian. Ada orang yang tidak diberikan dunia sebagai ujian. Ada orang yang diberikan kekayaan, tetapi kekayaan itu menjadi sebab kehancurannya. Ada orang yang hidup sederhana, tetapi kesederhanaan itu menjadi jalan kepada keselamatan.
Sebab itu saya rasa kisah pemuda ini sangat dekat dengan kehidupan manusia hari ini. Kesalahan berfikirnya bukan hanya kerana dia kufur kepada kiamat. Kesalahan yang lebih mendasar ialah cara dia membina kesimpulan. Dia melihat satu keadaan yang bersifat sementara, lalu menganggapnya sebagai sesuatu yang mutlak. Dia melihat nikmat yang sedang berada dalam tangannya, lalu menyangka nikmat itu akan terus berada dalam tangannya. Dia melihat kekayaan sebagai tanda kemuliaan, lalu menyangka kemuliaan dunia akan dibawa terus ke akhirat. Sedangkan manusia sebenarnya sedang hidup di atas sesuatu yang sangat rapuh.
Apa yang kita miliki hari ini boleh hilang esok. Apa yang kita anggap kekal, boleh berakhir dalam sekelip mata. Dan apa yang kita sangka sebagai ukuran kejayaan, mungkin sebenarnya sedang menjadi ujian yang menentukan sama ada kita berjaya atau gagal.
Sebab itu ayat ini membuatkan saya berfikir semula. Kadang-kadang masalah manusia bukan kerana dia tidak mempunyai maklumat. Masalahnya ialah dia mempunyai maklumat, tetapi cara dia menyusun maklumat itu salah. Dia melihat dunia, tetapi gagal membaca dunia. Dia melihat nikmat, tetapi gagal memahami siapa yang memberikan nikmat. Dia melihat kekayaan, tetapi gagal memahami bahawa kekayaan itu juga boleh menjadi ujian. Dan yang paling bahaya, dia menjadikan pengalaman dunianya sebagai ukuran untuk menentukan hakikat akhirat. Sedangkan akhirat tidak boleh diukur dengan logik dunia.
Itulah yang saya rasa sedang ditegur oleh ayat ini. Bukan sekadar kekufuran terhadap kiamat, tetapi juga sebuah cara berfikir yang menjadikan dunia sebagai neraca untuk menilai segala-galanya.
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis