Tinta Penulis
Alhamdulillah, hari ini saya selesai menyiapkan nota tafsir bagi ayat ke-7 dan ke-8 Surah al-Kahfi.
Dua ayat ini mengingatkan saya tentang hakikat dunia. Allah menjadikan segala yang ada di atas muka bumi ini sebagai perhiasan. Keindahannya bukan sekadar untuk dinikmati, tetapi juga sebagai ujian. Siapakah yang mampu menggunakan nikmat dunia dengan sebaik-baiknya, dan siapakah yang akhirnya tenggelam dalam pesonanya.
Apabila saya meneliti ayat ini, saya melihat antara sebab manusia sukar menerima kebenaran ialah kerana terlalu mencintai perhiasan dunia. Pangkat, harta, kemasyhuran, keselesaan dan segala bentuk kenikmatan dunia sering menjadikan hati berat untuk tunduk kepada kebenaran. Bukan kerana mereka tidak mengetahui yang benar, tetapi kerana kebenaran itu menuntut pengorbanan terhadap apa yang mereka sayangi.
Sedangkan Allah telah mengingatkan bahawa semua perhiasan itu tidak akan kekal. Suatu hari nanti, bumi yang indah ini akan menjadi tanah yang gersang. Segala yang dibanggakan akan lenyap, hancur dan hilang seperti debu yang diterbangkan angin.
Sebab itulah, ayat ini bukan sekadar menceritakan tentang dunia, tetapi mendidik hati supaya tidak diperdayakan olehnya. Dunia hanyalah persinggahan dan medan ujian. Yang kekal hanyalah amalan yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah.
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis