Tinta Penulis
Sedang saya meneliti, merenung, menulis dan menyusun kupasan terhadap ayat ke-226 daripada surah al-Baqarah, saya sedar bahawa hampir seminggu masa dihabiskan untuk mendalaminya. Tulisan kali ini agak padat dengan perbahasan hukum, lebih-lebih lagi apabila saya banyak merujuk kupasan al-Imam al-Qurtubi dalam karya tafsir beliau.
Semakin saya menyelami ayat ini, semakin saya melihat bahawa ia bukanlah ayat yang berdiri secara terpisah. Ia hadir sebagai sebahagian daripada rentetan perbahasan al-Quran tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan wanita dan kehidupan rumah tangga.
Perbahasan itu sebenarnya telah bermula sejak ayat ke-220, apabila al-Quran berbicara tentang kebajikan wanita, khususnya anak-anak perempuan yatim, serta galakan agar mereka dijaga dan dikahwini dengan penuh keadilan.
Kemudian, pada ayat ke-221, al-Quran menetapkan pula batasan syariah dalam soal perkahwinan. Sama ada wanita itu anak yatim ataupun bukan, keizinan untuk berkahwin tidak terlepas daripada syarat yang penting, iaitu mereka tidak berada dalam kesyirikan.
Selepas itu, pada ayat ke-222, al-Quran menjelaskan satu lagi batasan dalam hubungan suami isteri. Walau bagaimanapun kedudukan seorang isteri di sisi suaminya, hubungan kelamin tetap tidak dibenarkan ketika dia berada dalam keadaan haid.
Namun, al-Quran tidak mahu larangan itu disalahfahami sehingga membawa kepada sikap menjauhkan diri sepenuhnya daripada isteri. Justeru, pada ayat ke-223, dijelaskan bahawa hubungan suami isteri tetap merupakan satu ruang yang mendatangkan kebahagiaan dan kasih sayang. Suami digalakkan mendatangi isterinya dengan cara yang diharuskan, demi memelihara keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangga.
Apabila sampai kepada ayat ke-226, al-Quran menegur satu sikap yang tidak baik dalam kalangan manusia, iaitu menggunakan nama Allah melalui sumpah untuk tidak mendatangi isteri. Sikap seperti ini boleh menzalimi wanita dan menafikan hak mereka. Justeru, demi menjaga kebajikan perempuan, al-Quran memperkenalkan satu hukum yang dikenali sebagai hukum ila’.
Oleh sebab hukum ini berkait rapat dengan sumpah, al-Quran terlebih dahulu mendatangkan perbahasan tentang hukum-hukum sumpah pada ayat ke-224 dan ke-225, sebelum masuk kepada perbahasan ila’ pada ayat ke-226. Seolah-olah al-Quran sedang menyediakan mukadimah agar manusia memahami sesuatu hukum secara bertahap dan tersusun.
Dan sesuatu yang sentiasa menarik perhatian saya ketika membaca al-Quran ialah, di sebalik hukum-hakam yang kelihatan kering dan bersifat perundangan, terselit pelbagai cerita dan kisah. Barangkali manusia memang lebih dekat dengan bahasa kisah. Maka, al-Quran juga mendidik manusia melalui pendekatan yang sama; menyampaikan hukum, tetapi dalam masa yang sama menghidupkan jiwa dengan kisah dan ibrah yang menyentuh hati.
PA
PPMQ Admin
Catatan peribadi penulis