Tinta Penulis
Malam ini, saya tidur lebih awal daripada biasa. Mungkin kerana itu, seawal pukul 3.30 pagi, saya sudah terjaga.
Sebaik sahaja bangun, saya terus membuka laptop. Waktu pagi yang masih sunyi begini terasa begitu sesuai untuk menelaah ilmu. Saya mula membaca, meneliti, menulis dan menyusun tafsir ayat ke-230 Surah al-Baqarah.
Ayat ini menjelaskan hukum talak tiga, yang disebut oleh al-Sya‘rawi sebagai Bainunah Kubra.
Meneliti huraian ayat ini, saya dapat melihat betapa terperincinya al-Quran menjelaskan hukum perceraian. Huraian yang panjang lebar ini bukan sekadar membicarakan hukum halal dan haram, tetapi turut memperlihatkan perhatian besar al-Quran terhadap kebajikan wanita.
Saya terfikir, mengapa hukum talak tiga ini dijelaskan dengan begitu terperinci?
Barangkali, di sinilah kita dapat memahami bahawa al-Quran tidak melihat perceraian sekadar sebagai urusan antara suami dengan isteri. Di sebalik setiap hukum, ada kehidupan manusia yang perlu dilindungi, ada maruah yang perlu dipelihara dan ada hak yang tidak boleh diabaikan.
Saya semakin yakin bahawa memahami hukum al-Quran bukan sekadar mencari jawapan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Lebih daripada itu, kita perlu menyelami hikmah di sebalik hukum tersebut. Sebab, hukum yang difahami tanpa melihat hikmahnya mungkin hanya melahirkan kepatuhan pada zahir, sedangkan kefahaman terhadap hikmah mampu mendidik hati agar lebih menghargai keadilan dan kemanusiaan.
WJ
Ustaz Dr. Wan ji Wan Hussin
Catatan peribadi penulis